Pemandu teksi cedera, lelaki menyamar penumpang bawa lari kenderaan

Fareez Azman
Februari 23, 2021 14:10 MYT
Arifai memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian untuk berhubung dengan pihak polis. - Gambar fail/BERNAMA
GOMBAK: Seorang pemandu teksi mengalami kecederaan selepas kenderaannya dilarikan seorang lelaki dalam satu kejadian samun di Taman Pinggiran Batu Caves, Selangor pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, kejadian berlaku ketika mangsa sedang mengambil seorang penumpang di Jalan Raja Laut di ibu negara untuk dibawa ke Batu Caves.
"Pada 22 Februari 2021 pada jam lebih kurang 10.00 pagi, pengadu telah mengambil penumpang seorang lelaki di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur untuk di hantar ke Jalan Pinggiran 2/3, Taman Pinggiran Batu Caves, Selangor dengan menggunakan teksi milik pengadu iaitu jenis Proton Persona," katanya.
"Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, suspek dikatakan berpura-pura meminta mangsa untuk menunggu seketika dengan alasan ingin berjumpa dengan seorang kawannya.
"Apabila mangsa keluar dan mengeluarkan rokok untuk dihisap, suspek tiba-tiba masuk ke tempat duduk hadapan teksi tersebut dan mengunci pintu.
"Mangsa sempat pergi ke bahagian penumpang hadapan dan membuka pintu penumpang hadapan untuk masuk, tetapi suspek terus memecut laju melarikan teksi milik mangsa menyebabkan dia jatuh dan mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan kanan, tangan kiri, lutut kanan, ibu jari kaki kiri dan jari kaki kanan," katanya lagi.
Tambah Arifai lagi, pihaknya kini sedang mengesan suspek terlibat dalam kejadian.
Kes disiasat dibawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta berhubung dengan pihak polis.
#Kuala Lumpur #Batu Caves #mangsa #suspek #teksi #samun #lelaki #pemandu teksi #PDRM #polis #pengadu #cedera #berputih mata
;