Pemandu tak puas hati disaman, ugut mahu santau polis
Abd Razak Mohd Ali
Jun 19, 2019 19:04 MYT
Jun 19, 2019 19:04 MYT
Polis menahan seorang pemandu kerana dikatakan mengugut untuk menyantau anggota polis yang menyamannya kerana kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar di Jalan Idris di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail berkata, lelaki berumur 36 tahun itu ditahan kerana mengeluarkan kata-kata mengugut dan biadap, selepas tidak berpuas hati terhadap saman yang dikeluarkan kepadanya.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 10.20 pagi Selasa semasa pengadu bersama sepasukan polis Trafik IPD Kuala Kangsar membuat tugas ops penguatkuasa lalulintas di Jalan Idris.
Katanya, pengadu telah menahan sebuah kereta jenis Kembara dan meminta pemandunya menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu kerana didapati telah melakukan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.
“Pengadu telah keluarkan saman atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, tiba-tiba OKT telah keluarkan perkataan "tak tahu ka anak aku b***k, sapu ta** kat kamu baru tau, kamu tak ada akal ka dan kamu tunggu aku santau kamu bukan mahal pun nak santau RM5 je dah boleh santau," katanya hari ini.
Razali berkata, semasa perkataan itu diucapkan, ia jelas didengar oleh pengadu bersama-sama saksi anggota polis berpangkat koperal.
“Seterusnya pengadu dan anggota polis telah menangkap OKT kerana mengeluarkan perkataan mengugut dan biadap ke atas anggota polis yang sedang menjalankan tugas,” ujarnya.
Menurutnya, tangkapan telah dibawa balik ke lPD Kuala Kangsar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
#kesalahan
#Kuala Kangsar
#pemandu
#Peraturan
#polis
#saman
#santau polis
#ugut polis
#undang-undang