Pemandu rentung, kereta terbakar rempuh pembahagi tol di WCE
Aida Aziz
Oktober 14, 2023 07:00 MYT
Oktober 14, 2023 07:00 MYT
MANJUNG: Seorang mangsa yang belum dikenal pasti identitinya rentung setelah kereta yang dipandunya merempuh pembahagi tol lalu terbakar dekat Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Sitiawan, dekat sini, lewat malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.25 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bergegas ke lokasi.
Jelasnya, mangsa yang memandu kenderaan jenis Toyota SE disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Setibanya jentera di lokasi mendapati sebuah kereta Toyota musnah terbakar sebanyak 80 peratus akibat melanggar pembahagi tol.
"Terdapat seorang mangsa terperangkap dan maut dalam kenderaan, indentiti dan jantina mangsa masih belum dapat dikenal pasti," katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Sehubungan itu, katanya, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian memadam kebakaran menggunakan satu aliran hose reel sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Ujar Sabarodzi, mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan susulan.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Khairul Azizi Kamaruddin itu tamat pada jam 12.15 tengah malam.