Pemandu rempuh peserta maraton jalani pemeriksaan di hospital
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 9, 2018 17:03 MYT
Disember 9, 2018 17:03 MYT
Pemandu kereta yang merempuh pegawai dan peserta larian PAAA Annual Round The Island Relay dibawa ke hospital untuk diambil darah bagi tujuan analisis kandungan alkohol.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jefri Md Zin, pemandu lelaki berusia 34 tahun berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Dalam insiden awal pagi Ahad itu, pegawai pengiring yang dikenali sebagai Lee Foo Beng, 51, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala peserta larian Cheah Ting Cong, 16, patah kedua-dua belah kaki.
Jefri dalam kenyataan pada Ahad berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pemandu kereta yang datang dari arah Bayan Baru telah melanggar kedua-dua mangsa yang sedang menunggang motosikal dari arah belakang.
Menurutnya, Ting Cong yang ketika itu sedang membonceng motosikal yang ditunggangi Foo Beng merupakan peserta simpanan yang dihantar bagi menggantikan seorang lagi peserta yang tidak dapat meneruskan larian.
Perlanggaran tersebut menyebabkan kenderaan itu terbabas ke arah tembok pembahagi jalan manakala motosikal dinaiki kedua-dua mangsa melambung dan tercampak ke seberang jalan mengakibatkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan.
Jefri berkata, ketika kejadian, cuaca baik dengan keadaan jalan yang diterangi cahaya lampu manakala lalu lintas pula lancar.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Cheah Ting Cong
#Jefri Md Zin
#larian
#Lee Foo Beng
#PAAA Annual Round The Island Relay
#pegawai pengiring
#peserta maraton
#Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987