Pemandu Perodua Myvi maut, kereta rempuh belakang lori di Lebuhraya Baling-Kulim

Adie Sufian Zulkefli
Januari 1, 2025 11:30 MYT
Pegawai dan anggota bomba bertungkus-lumus membantu mengeluarkan mangsa yang maut dalam kemalangan antara kereta Perodua Myvi dengan sebuah lori treler di Lebuhraya Baling-Kulim, pagi tadi. - Gambar ihsan JBPM
BALING : Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori treler di Lebuhraya Baling-Kulim, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 7.29 pagi tadi.
Sejurus itu, beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohamad Yunus Ali bersama sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kemalangan.
"Setibanya di lokasi didapati terdapat kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dengan treler.
"Terdapat satu mangsa yang tersepit dalam kereta Perodua Myvi dan tindakan operasi menggunakan peralatan khas power resque bagi mengeluarkan mangsa tersepit.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Jamil berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
#kemalangan #pemandu maut #Myvi rempuh lori #Lebuhraya Baling-Kulim
;