Pemandu Perodua Alza maut dalam kemalangan di Tapah

Abd Razak Mohd Ali
Mac 28, 2019 15:30 MYT
Kemalangan di Batu 4, Jalan Tapah-Cameron Highlands pada Khamis telah meragut satu nyawa. - Ihsan PDRM
Seorang lelaki maut apabila kenderaan Perodua Alza yang dinaiki bersama lapan ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan di Batu 4, Jalan Tapah-Cameron Highlands sekitar pukul 12 tengah hari Khamis.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa, Mohd Ayib AB Rahman, 55, yang beralamat di Kota Bharu, Kelantan, meninggal dunia di Hospital Tapah.
Ibu mertuanya, Siti Mariam Sulaiman, 75, mengalami kecederaan parah di kepala.
Isterinya, Marinah Abd Rahman, 52, serta tiga anak mereka, Adibah, 23, Muhammad Atiq, 25, dan Yusuf Zikri, 9, hanya mengalami kecederaan ringan.
Tiga lagi anaknya, Mohd Musyid, 20, mengalami patah tangan kiri; Muhammad Mutaqin, 18, patah kaki kanan dan Muhammad Mubasyir, 13, patah tulang rusuk.
Wan Azharuddin berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, Perodua Alza berkenaan dalam perjalanan menuju Cameron Highlands.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan itu dipercayai telah dilanggar oleh sebuah kenderaan Honda Stream yang datang daripada lorong bertentangan," katanya di sini.
Pemandu Honda Stream terbabit, Mahfuz Abdul Aziz, 52, patah peha kiri manakala anaknya, Nur Hidayah, 22, turut cedera.
Lima lagi angota keluarganya hanya mengalami cedera ringan atau tidak mengalami kecederaan.
Tambah Wan Azharuddin, kenderaan-kenderaan yang terlibat akan dihantar ke PUSPAKOM Gopeng.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Cameron Highlands #jalan tapah #kemalangan maut #Perodua Alza