Pemandu perkhidmatan e-hailing cedera dipukul, ditembak
Bernama
Mei 30, 2019 22:05 MYT
Mei 30, 2019 22:05 MYT
Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul dan ditembak menggunakan senapang angin oleh penumpangnya di Jalan FAC Matang, petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong berkata di awal kejadian, pemandu yang berusia 40 tahun itu telah mengambil seorang penumpang warga asing di Kuching Sentral untuk dihantar ke Jantayu Strawberry Farm.
“Semasa dalam perjalanan, suspek mengarahkan pemandu itu memberhentikan kenderaan, sebelum bertindak memukul kepalanya menggunakan tukul dan menembaknya menggunakan senapang angin buatan sendiri.
“Lelaki yang cedera itu kemudian lari ke hutan yang berdekatan untuk menyelamatkan diri. Kini lelaki itu berada di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Denis berkata usaha untuk menjejaki suspek kini giat dijalankan.
#Denis Leong
#e-hailing
#Jalan FAC Matang
#Jantayu Strawberry Farm
#Kuching Sentral
#penumpang warga asing
#senapang angin