Pemandu, penumpang cedera, bas rempuh belakang lori di Lebuhraya Utara Selatan

Abd Razak Mohd Ali
Disember 29, 2022 09:00 MYT
Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dan lori muatan buah-buahan berlaku di Kilometer 317.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, awal pagi ini. - Foto PDRM
TAPAH: Pemandu sebuah bas ekspres dan seorang penumpang cedera selepas kenderaan itu dipercayai merempuh belakang sebuah lori muatan buah-buahan di Kilometer 317.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, awal pagi ini.
Pemandu berusia 42 tahun mengalami kecederaan di perut manakala penumpang wanita berusia 28 tahun, luka di dagu.
Kemalangan yang melibatkan bas membawa 16 penumpang itu turut menyebabkan buah-buahan yang dibawa lori bertaburan di atas lebuh raya.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 2.45 pagi.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang dalam perjalanan daripada Bukit Kayu Hitam menuju ke Selayang, dipercayai dilanggar di bahagian belakang oleh sebuah bas ekspres,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pemandu dan penumpang bas yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.
Wan Azharuddin berkata, pemandu lori yang berusia 26 tahun serta 15 penumpang bas ekspres yang lain tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#bas ekspres #Lori #Lebuhraya Utara-Selatan #lori muatan buah-buahan
;