Pemandu parah lori terbabas ke landasan kereta api di Nilai
Bernama
Mei 8, 2019 15:10 MYT
Mei 8, 2019 15:10 MYT
Seorang lelaki parah selepas lori yang dipandunya terbabas sebelum memasuki landasan kereta api dalam kejadian di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Batang Benar, Nilai, dekat sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai Bakarya Mohd Salleh berkata dalam kejadian 8.05 pagi itu, pemandu yang berumur lingkungan 30-an mengalami kecederaan di bahagian kepala selain tersepit di tempat duduk pemandu.
"Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit di tempat duduknya dan kemudian dia dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) menggunakan EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) untuk rawatan lanjut. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya operasi mengeluarkan lelaki yang memandu lori 10 tan membawa muatan pasir itu disertai 13 anggota daripada balai yang sama.
"Sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.39 pagi, kami bergegas ke lokasi yang berjarak lapan kilometer itu menggunakan sebuah jentera FRT (Fire Rescue Tender), sebuah kenderaan EMRS dan Toyota Hilux," katanya.
-- BERNAMA