Pemandu pacuan empat roda rempuh penyelenggara jalan sehingga maut dicari
Adie Sufian Zulkefli
Mac 3, 2021 12:20 MYT
Mac 3, 2021 12:20 MYT
SUNGAI PETANI: Polis sedang mencari pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna perak bagi membantu siasatan satu kes langgar lari sehingga mengakibatkan seorang pekerja pembinaan jalan maut malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, nahas berlaku di Kilometer 45 Jalan Alor Setar-Butterworth dekat sini, sekitar jam 8.30 malam.
Siasatan awal yang dilakukan mendapati kenderaan pikap terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Gurun menghala ke Sungai Petani.
Dalam kemalangan itu, mangsa M Nagelan, 18, yang berasal dari Rawang, Selangor maut akibat kecederaan parah pada anggota dalaman badan selepas dipercayai dirempuh daripada belakang dengan kenderaan itu.
Keadaan jalan ketika itu sedang dalam pembinaan dan dijadikan satu lorong untuk kenderaan bergerak di setiap arah, malah kon diletakkan sebagai pemisah arah perjalanan.
Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh belakang mangsa sehingga mengakibatkan mangsa tercampak ke tengah jalan.
"Akibat kemalangan, mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Adzli berkata, susulan itu pihaknya sedang mengesan kenderaan yang disyaki terbabit dalam kemalangan itu yang dipercayai melarikan diri.
Katanya, sehubungan itu orang ramai atau pihak yang menyaksikan kemalangan itu boleh tampil di mana-mana balai berhampiran untuk membantu siasatan.
#Sungai Petani
#Alor Setar
#kemalangan
#maut
#Jabatan Forensik
#pemandu pacuan empat roda
#mangsa kemalangan
#penyelenggara jalan
#langgar lari