Pemandu nyaris maut kereta terjunam ke landasan komuter
Bernama
Januari 18, 2018 21:08 MYT
Januari 18, 2018 21:08 MYT
Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke landasan komuter di Jalan Persiaran Tengku Ampuan berdekatan Bulatan Sejahtera di Seksyen 15 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata dalam kejadian pada 9.58 pagi itu mangsa, Nabil Haqim Mohd Redzuan, 20, hanya cedera ringan di belakang badan selepas kereta yang dipandu terhumban kira-kira 10 meter ke landasan itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira dipercayai dalam perjalanan dari arah Bulatan Megawati di sini menghala ke Bulatan Sejahtera.
"Kereta mangsa yang melalui Jalan Persiaran Tengku Ampuan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh ke bawah serta menghalang satu daripada landasan komuter. Mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya terpaksa menutup satu landasan bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan kereta itu dilakukan.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan perkhidmatan tren komuter lewat hampir dua jam kerana perlu beroperasi secara dua arah dengan menggunakan satu landasan.
Landasan berkenaan dibuka kembali kira-kira pukul 1 tengah hari.
-- BERNAMA
#cedera
#hilang kawalan
#kemalangan
#komuter
#KTMB
#landasan
#polis
#Shafien Mamat
#shah alam
#terbabas