Pemandu nyaris maut kereta dipandu terbabas dan terbalik

Dewi Nur Harasha Alias
September 7, 2021 17:35 MYT
Beginilah keadaan kenderaan dipandu mangsa berusia 26 tahun yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kerian, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Selasa. - Gambar ihsan JBPM
NIBONG TEBAL: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu terbalik di Jalan Kerian di sini pada Selasa.
Mangsa yang berusia 26 tahun dan memandu kereta jenis Honda Accord itu terperangkap di bahagian pemandu sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan berhubungan kejadian itu pada pukul 1.29 tengah hari.
Sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu menyelamatkan mangsa.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati kereta berkenaan terbalik dan mangsa masih berada di tempat duduk pemandu.
"Mangsa kemudiannya telah berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sungai Bakap bagi mendapatkan rawatan," kata kenyataan tersebut pada Selasa.
Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal terlibat dalam operasi tersebut yang berakhir pada pukul 1.52 tengah hari .
#pemandu nyaris maut #kereta terbabas #Jalan Kerian #Nibong Tebal #pulau pinang
;