Pemandu nyaris maut kepala lori terbakar di lebuh raya PLUS

Aida Aziz
November 29, 2022 03:30 MYT
Pasukan bomba sedang memadamkan api yang memusnahkan sebuah lori di KM340 Lebuhraya Utara Selatan, pagi tadi. - Foto JBPM Perak
BIDOR: Sebuah lori 'mix load' tanpa muatan musnah terbakar dalam kejadian di kilometer (km) 340, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara, di sini, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pemandu lori berkenaan sempat keluar dari kenderaan tersebut dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pihak bomba terima panggilan kecemasan pada jam 6.19 pagi dan kemudiannya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor bergegas ke lokasi kejadian.
"Ketika kejadian, pemandu berseorangan tanpa kelindan.
"Mangsa sempat selamatkan diri sebelum lori itu musnah terbakar 75 peratus di bahagian kepala.
"Anggota bomba kemudiannya melakukan kerja memadam kebakaran menggunakan dua aliran hose reel sehingga selesai," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Abdul Hazhar Nor Fauzi itu tamat pada jam 9.22 pagi.
#lori 'mix load' tanpa muatan #kepala lori terbakar #JBPM Perak #Lebuhraya Utara Selatan