Pemandu Navara dihadap enam pertuduhan ambil dadah, langgar ibu dan tiga anak hingga maut
Astro Awani
Februari 4, 2022 13:52 MYT
Februari 4, 2022 13:52 MYT
BENTONG: Pemandu Nissan Navara yang memandu dibawah pengaruh dadah dan merempuh Vellfire yang menyebabkan kematian empat beranak di persimpangan lampu isyarat CSR Kilometer 2, Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, pada 28 Januari lalu, didakwa di mahkamah Majistret Bentong atas enam pertuduhan pada Jumaat.
Ahmad Fuad Mohd Salleh, 44 tahun, dituduh dengan empat pertuduhan membunuh dan dua pertuduhan berkait dadah di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim.
Bagaimanapun, tertuduh yang berasal dari Lipis dan bekerja sebagai penternak ikan tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah.
Mengikut empat kertas pertuduhan, pada kira-kira pukul 2.30 petang pada 28 Januari lalu di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong tertuduh didapati membunuh empat mangsa iaitu Raihan Mohamad, 43 tahun, Ahda Dalili Mohd Nazri,14 tahun; Ahmad Muaz Mohd Nazri, 7 tahun dan Ahda Imtinan Mohd Nazri, 5 tahun.
Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa pada pukul 12.05 tengah malam 29 Januari lalu di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong didapati menggunakan dadah berbahaya jenis methamphatamine dengan cara yang salah.
Bagi kesalahan ini tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya yang dibaca bersama Seksyen 38 B Akta Dadah Berbahaya.
Dalam pertuduhan keenam pula tertuduh didakwa pada 11.45 pagi 28 Januari lalu di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong memiliki 0.75 gram methamphetamine dan didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta sama.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi.
Tertuduh walau bagaimanapun tidak diberikan jaminan termasuk kes berkaitan dadah disebabkan tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula kes dan mendapatkan keputusan bedah siasat keempat-empat mangsa serta laporan kimia tertuduh.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan kejadian kemalangan pada 28 Januari lalu, berkaitan mangsa, Raihan Mohamad bersama tiga anaknya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu suaminya dirempuh sebuah pacuan empat roda di simpang lampu isyarat susur Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) dekat Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong.
Mereka yang ketika itu dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudaranya.