Pemandu MyVi dengan lesen 'P' didakwa jadi pembuli jalanan

Parmena Murugan
Ogos 7, 2017 18:51 MYT
Tindakan pemandu kereta Myvi itu telah menghalang seluruh lorong kiri ke bulatan Persiaran Kewajipan sehingga menyebabkan salah seorang pemandu lain menurun dari keretanya dan menegur perbuataan pemandu Myvi itu. - Foto Ihsan pembaca.
Tindakan seorang pemandu kenderaan Perodua MyVi dengan Lesen Percubaan membuli pemandu lain dengan membawa kenderaannya secara berbahaya dan mengancam nyawa pemandu lain menjadi tular sejak Sabtu lalu.
Kejadian tersebut menjadi tular setelah mangsa buli itu sempat merakamkan perbuatan tersebut melalui sebuah kamera di keretanya.
Menurut mangsa yang memuat naik rakaman ke Facebook, pemandu MyVi itu dipercayai memotong barisan ketika menukar lorong dari lorong lurus menuju Persiaran Tujuan ke lorong kiri menuju ke arah NPE di Subang Jaya sebelum memotong barisan semula ke lorong lurus secara tiba-tiba.
Mangsa sempat membunyikan hon kereta setelah pemandu tersebut memperlahankan kenderaan dibawanya secara sengaja untuk memotong barisan.
Tindakannya telah menyebabkan pemandu terbabit naik marah dan memandu dengan pantas dan berbahaya serta membrek secara tiba-tiba di hadapan keretanya.
“Setelah melihat pemandu MyVi memandu gila-gila sebegitu, saya memutuskan untuk mengambil jalan lain,” menurut mangsa di lamannya.
“Kereta MyVi itu mengekori saya dan membunyikan hon secara berterusan kerana saya tidak menunjukkan sebarang tindak balas terhadap tindakannya. Sekali lagi pemandu itu memandu secara berbahaya untuk memotong kereta saya, kemudian membrek lagi dan berhenti.
“Kali ini, kereta itu berhenti sepenuhnya dan meletakkan isyarat kecemasan, jadi saya cuba menukar lorong, tetapi dia menghalang jalan saya. Kemudian dia mengundur keretanya ke belakang dan cuba melanggar saya," tulis mangsa.
Tindakan pemandu tersebut telah menghalang seluruh lorong kiri ke bulatan Persiaran Kewajipan sehingga menyebabkan salah seorang pemandu lain turun dari keretanya dan menegur perbuatan pemandu Myvi itu.
Walaupun dimarahi pemandu lain, pemandu kereta MyVi masih berkelihatan berdegil dan mula beredar setelah melihat wajah garang pemandu yang memarahinya.
Setelah beredar, mangsa telah mengambil lorong lain untuk mengelak 'pembuli jalanan' terbabit.
Semua perbuatan pemandu kereta Perodua MyVi itu telah dirakam melalui kamera ‘dashcam’ yang dipasang di dalam kereta mangsa.
Difahamkan pihak polis masih belum mendapat sebarang laporan mengenai kejadian terbabit namun kes itu sedang disiasat.
#buli #kereta #mangsa #Myvi #Perodua #Subang Jaya
;