Pemandu MPV wanita maut dalam kemalangan dengan lori sawit
Amir Hamzah Nordin
September 10, 2022 16:22 MYT
September 10, 2022 16:22 MYT
ROMPIN: Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) maut dalam satu kejadian kemalangan di Jalan Selendang, dekat Kuala Rompin pada jam 9.43 pagi, hari ini.
Mangsa, Nur Natrah Daharuddin, 26, yang memandu berseorangan disahkan maut di tempat kejadian akibat tersepit dalam kenderaan dipandunya itu yang melibatkan sebuah lori bermuatan sawit.
Mangsa beralamat di Felda Selendang, dekat Kuala Rompin, berdasarkan kad pengenalan yang ada bersamanya.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sejurus menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 9.43 pagi, pihaknya terus bergegas ke tempat kejadian.
"Enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin terbabit dalam operasi itu.
"Mangsa maut berjaya dikeluarkan dari kenderaan menggunakan peralatan khas penyelamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan siasatan,” katanya.
Katanya lagi, pemandu lori sawit yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut.