Pemandu MPV langgar mati pejalan kaki serah diri, direman hari ini

Sinar Harian
Julai 22, 2024 08:00 MYT
Pemandu Perodua Alza yang disyaki terlibat dalam insiden langgar lari hingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki awal pagi Ahad akan direman pada Isnin. - Foto IPD Johor Bahru Selatan
JOHOR BAHRU: Polis akan memohon perintah reman terhadap pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang disyaki terlibat dalam insiden langgar lari hingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki berusia 30-an itu telah menyerah diri petang semalam dan akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapatkan perintah reman berkenaan.
"Siasatan kes juga dipinda kepada Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan,” katanya pada Ahad.
Tambah Raub, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah, manakala keputusan ujian saringan pernafasan pula negatif alkohol.
Pada Ahad, polis giat mengesan pemandu Perodua Alza kerana disyaki terlibat kes langgar lari seorang pejalan kaki di Kilometer 0.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) menghala ke Johor Bahru.
Kejadian sekitar jam 4.30 pagi itu menyebabkan pejalan kaki berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, pemandu Perodua Alza tersebut tidak berhenti dan telah melarikan diri selepas kemalangan berlaku. - Sinar Harian
#Nahas #langgar lari #reman #pejalan kaki
;