Pemandu MPV hitam diminta tampil bantu siasatan nahas di Dungun

Sinar Harian
Januari 11, 2022 05:45 MYT
Rakaman CCTV menunjukkan kejadian kemalangan maut melibatkan seorang penghantar makanan yang menaiki sebuah Perodua Myvi berwarna kuning di Kilometer 91.1, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Air Hitam di Dungun pada Isnin. -Foto Sinar Harian
DUNGUN: Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan seorang penghantar makanan di Kilometer 91.1, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Air Hitam, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, individu yang memandu MPV jenis Toyota Innova itu diperlukan sebagai saksi kejadian.
Beliau berkata, MPV berkenaan dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
"Kita minta kerjasama pemandu MPV tersebut untuk tampil memberikan keterangan selaku saksi kemalangan.
"Kita turut meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Isnin lalu, seorang penghantar makanan, Mohamad Haszaniza Sulong@ Zakaria, 27, maut selepas Perodua Myvi warna kuning yang dipandunya terbabas lalu bertembung dengan sebuah Mercedes Benz.
Nahas berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke arah Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang.
*Berita asal di Sinar Harian
#Mohamad Haszaniza Sulong #Myvi kuning #Baharudin Abdullah #MPV hitam
;