Pemandu motosikal maut dirempuh van di Bintangor

Afiezul Samit
Julai 30, 2021 17:52 MYT
Susulan pelanggaran itu mangsa terpelanting beberapa meter manakala motosikalnya dilaporkan terbakar. FOTO: BBP Julau
BINTAGOR: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah van di Batu 14, Jalan Kelupu-Julau-Durin di sini, hari ini.
Dalam insiden sekitar 12.30 tengah hari Jumaat, mangsa dikenali sebagai Collin Baring Empang, 27, mengalami cedera parah di kepala.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Julau.
Ketua Polis Daerah Julau, DSP Andam Sulin berkata, semasa kejadian van yang dipandu seorang lelaki dalam perjalanan menuju ke pekan Bintangor.
“Apabila tiba di Batu 14 Jalan Kelupu-Julau-Durin, motosikal yang ditunggang mangsa membuat pusingan secara tiba-tiba.
“Pemandu van dilaporkan gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa kerana jaraknya terlalu dekat,” katanya.
Susulan pelanggaran itu mangsa terpelanting beberapa meter manakala motosikalnya dilaporkan terbakar.
Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dikawal orang awam yang melalui jalan berkenaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.09 petang sebelum menggerakkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor ke lokasi.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes diklasifikasikan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Kemalangan di Bintagor #kes kemalangan di Sarawak #motorsikal dirempuh van #Akta Pengangkutan Jalan 1987 #Klinik Kesihatan Julau #lelaki maut kemalangan
;