Pemandu melecur, lori gas LPG terbakar
Bernama
Jun 23, 2021 05:39 MYT
Jun 23, 2021 05:39 MYT
BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori melecur tahap dua selepas kenderaan yang membawa tangki gas petroleum cecair (LPG) itu terbakar di kawasan kilang di Perusahaan Perai di sini, pada Rabu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata dalam kebakaran 2.30 petang itu, mangsa berusia 50 tahun diberi rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.
"Sebaik pihak bomba tiba di tempat kejadian mendapati, kebakaran melibatkan sebuah lori lima tan yang membawa muatan tangki gas LPG dan kejadian tersebut berlaku di tempat mengisi gas LPG ke dalam lori di kawasan kilang tersebut dan api telah menyebabkan sebahagian besar kenderaan tersebut terbakar.
"Pemandu lori itu sempat diselamatkan dan dia melecur tahap dua pada beberapa bahagian badan dan pihak bomba turut bekerja keras memadam kebakaran berikutan kawasan kilang tersebut dipenuhi tong-tong gas LPG," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak di kawasan kilang itu dalam tempoh 10 minit dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 4.42 petang.
Katanya, seramai 32 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran itu dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA