Pemandu maut, van terbabas rempuh pokok
Abd Razak Mohd Ali
Januari 22, 2022 12:11 MYT
Januari 22, 2022 12:11 MYT
PARIT BUNTAR: Seorang pemandu van maut apabila kenderaan dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Batu 11 Jalan Pantai Tanjung Piandang, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa Mohamad Tarmizi Mohd Tajudin, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Kurau ke Tanjung Piandang.
Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mazuki, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
"Punca nahas adalah hilang kawalan dan terbabas sendiri,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.