Pemandu maut, treler terbalik di Lebuhraya Utara-Selatan
Abd Razak Mohd Ali
Februari 1, 2023 06:15 MYT
Februari 1, 2023 06:15 MYT
MUALLIM: Seorang pemandu maut selepas treler yang dipandunya terbalik di Kilometer 371.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Slim River, malam tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 malam itu, lelaki berkenaan yang berusia 36 tahun, disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu, pada 10.39 malam.
“Kemalangan melibatkan sebuah treler muatan minyak hitam dan diesel yang terbabas di pembahagi jalan dan terbalik, menyebabkan mangsa tersepit dan disahkan maut di lokasi oleh pihak KKM,” katanya dalam kenyataan di sini, pagi ini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Katanya, operasi turut dibantu oleh dua unit kren bagi mengalihkan treler sehingga mangsa dapat dikeluarkan.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Yussli Abdul Latif itu tamat jam 2.10 pagi.