Pemandu maut, treler terbalik di Lebuhraya Utara-Selatan

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 29, 2022 18:53 MYT
Mangsa, seorang lelaki berusia 47 tahun tersepit di tempat pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. - Foto ihsan JBPM
TANJUNG MALIM: Seorang pemandu maut apabila treler yang dipandunya terbabas lalu terbalik di Kilometer 390 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, dekat sini, petang tadi.
Mangsa, L. Pakiyasamy, 47, tersepit di tempat pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 2.51 petang.
“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat sebuah treler membawa muatan cip mikro elektronik telah terbabas lalu terbalik.
“Terdapat seorang mangsa yang tersepit di tempat pemandu dan disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Jasmi Abd Kamal tamat jam 4.19 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba mengelak sebuah kereta yang terbabas sendiri di bahu kiri jalan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#pemandu treler #kemalangan #Lebuhraya Utara Selatan #PLUS #JBPM Perak #L Pakiyasamy
;