Pemandu maut, treler rempuh treler diparkir tepi jalan
Abd Razak Mohd Ali
November 17, 2024 16:30 MYT
November 17, 2024 16:30 MYT
IPOH: Seorang pemandu maut apabila treler yang dipandunya hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah treler lain yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 47, Jalan Ipoh -Lumut, dekat Bota, malam tadi.
Lelaki berusia 32 tahun itu yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, dalam kejadian jam 11.15 malam itu, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan maut yang melibatkan dua buah treler jenis Mercedes Benz dan Hino serta sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku semasa treler jenis Mercedes Benz muatan simen sedang dalam perjalanan dari arah Seri Iskandar ke Gelung Pepuyu.
“Ketika melalui lokasi kejadian, treler itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang treler jenis Hino yang diletakkan di tepi jalan.
“Treler jenis Hino kemudiannya telah melanggar belakang kereta Toyota Vios yang juga diletakkan di tepi jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu, treler jenis Mercedes Benz telah meluncur ke hadapan lebih kurang 100 meter dan merempuh halaman sebuah rumah di sebelah kiri jalan berkenaan.
Katanya, lokasi kemalangan berada dalam keadaan basah, tiada lampu jalan dan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV)
“Dalam kemalangan ini, pemandu lori jenis Mercedes Benz mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah ‘polytrauma injury secondary to motor vehicle accident’,” ujarnya.
Katatanya, pihak masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang yang yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat trafik IPD Perak Tengah, Inspektor M Maheswaran di talian 010-7005051 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.