Pemandu maut, treler muatan konkrit jatuh gaung
Aida Aziz
Ogos 13, 2022 12:20 MYT
Ogos 13, 2022 12:20 MYT
PENGKALAN HULU: Seorang lelaki maut selepas treler muatan konkrit yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung di Gunung Paku, di sini, hari ini.
Mangsa yang berusia 48 tahun itu dikatakan tidak sedarkan diri dan tersepit dalam kenderaan, lalu meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.52 pagi.
"Setibanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu di lokasi kejadian, didapati terdapat sebuah treler muatan konkrit terbabas dalam gaung.
"Terdapat seorang mangsa lelaki iaitu pemandu treler tidak sedarkan diri dalam longkang, dan kemudiannya meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, anggota bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Ridzwan Abdul Rahman itu tamat pada jam 10.50 pagi.