Pemandu maut, tiga beranak cedera dalam nahas dua kenderaan
Norfarhiza Mohd Atar
Oktober 22, 2022 09:40 MYT
Oktober 22, 2022 09:40 MYT
LIPIS: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di kilometer 7 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA), di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa Poon Zhong Soon, 30, beralamat di Kampung Sin Lik, Kangkar Bahru, Yong Peng, Johor yang memandu kereta Toyota Vios maut di lokasi kejadian.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu berlaku apabila kereta dipandu mangsa secara bersendirian telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Kereta Toyota Vios yang dipandu mangsa datang dari arah Merapoh menghala ke Lipis.
"Apabila tiba di lokasi, kenderaan itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Proton Persona yang dinaiki tiga beranak.
"Kejadian tersebut turut menyebabkan Toyota Vios tersebut terbalik dan mengalami kerosakan teruk pada seluruh bahagian kenderaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, pemandu Toyota Vios meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu serta dua penumpang Proton Persona termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun cedera.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.
"Siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan jalan berselekoh, keadaan jalan basah, sistem jalan satu lorong satu hala, terdapat garisan tengah putih berkembar sebagai pembahagi lorong, keadaan gelap tanpa lampu jalan, dan cuaca adalah hujan ketika kemalangan," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Zon 3 Bomba Pahang, Shahrulnizam Nasir berkata, sebaik menerima panggilan sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis telah bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki sebuah jentera.
"Sebaik tiba di lokasi anggota bomba mendapati terdapat dua buah kenderaan telah terbabit dalam kemalangan.
"Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan hidraulik khas," katanya.