Pemandu maut tersepit, nahas dua kenderaan di Lekir
Abd Razak Mohd Ali
Mei 30, 2024 09:40 MYT
Mei 30, 2024 09:40 MYT
MANJUNG: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam nahas dengan sebuah lori di Batu 8, Lekir dekat sini, pagi ini.
Mangsa berusia 25 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 6.14 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori dengan sebuah kereta di mana pemandu kereta yang tersepit, maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Manjung yang tiba di lokasi telah mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang turut dibantu anggota dari BBP Sitiawan itu tamat jam 7.45 pagi.