Pemandu maut tersepit dalam kemalangan lori, kereta
Norfarhiza Mohd Atar
Januari 14, 2023 07:00 MYT
Januari 14, 2023 07:00 MYT
BENTONG: Seorang pemandu maut manakala penumpang cedera apabila kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 20 Jalan Bentong-Raub dekat Felda Lurah Bilut pada petang Sabtu.
Kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu telah meragut nyawa Mohamad Riduan M Shafri, 23 tahun, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan polis mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila lori muatan tong gas kosong yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 57 tahun sedang dalam perjalanan dari Raub menuju ke Mentakab.
"Sampai di tempat kejadian sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu mangsa bersama penumpang berusia 25 tahun dari arah Bentong menghala ke Raub cuba memotong kenderaan lain di hadapan lalu terbabas dan melanggar lori yang berada di laluan bertentangan.
"Akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta berkenan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang mengalami kecederaan ringan. Pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ujarnya, pihak polis turut meminta kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
"Kita juga menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah selain turut perlu memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik," katanya.
Sementara itu, Ketua Zon 3 Bomba Pahang, Shahrulnizam Nasir berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki dua jentera.
" Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki telah tersepit di dalam kereta dan pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
" Anggota bomba mengambil masa hampir 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,"jelasnya.
Tambah beliau, pasukan bomba juga bertindak melaksanakan kerja pembersihan sisa debris akibat kemalangan jalanraya dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula.