Pemandu maut tercampak dari lori simen di Lebuhraya Utara Selatan

Abd Razak Mohd Ali
Februari 22, 2023 07:40 MYT
Keadaan lori tangki membawa muatan simen yang terbabas di Kilometer 254.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara. - Foto JBPM
KUALA KANGSAR: Seorang pemandu maut selepas tercampak daripada lori tangki muatan simen yang dibawanya, di Kilometer 254.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, awal pagi ini.
Mangsa, Mohd Asuat Azmi, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Syed Azrul Hizam Syed Abdul Aziz, mereka menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 3.15 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki membawa muatan simen yang terbabas di bahu jalan dan mangsa telah tercampak keluar,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.
Operasi yang diserta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, tamat sepenuhnya jam 4.13 pagi.
#pemandu maut #lori tangki muatan simen #terbabas #tercampak keluar
;