Pemandu maut setelah kereta dipandu laju rempuh motosikal, langgar tembok

Astro Awani
Jun 4, 2018 21:26 MYT
Keadaan kereta mangsa yang remuk akibat kemalangan di Jalan Pengaturcara, Shah Alam pada Isnin. - Astro AWANI
Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebuah motosikal sebelum terbabas serta melanggar tembok di persimpangan lampu isyarat Jalan Pengaturcara, Persiaran Kerjaya, Shah Alam, kira-kira jam 1.30 petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata siasatan mendapati pemandu kereta jenis Volkswagen, dipercayai memandu laju dari Jalan Pengaturcara.
Saksi di tempat kejadian mendakwa kereta pemandu yang dipandu laju, melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah Persiaran Kerjaya, sebelum terbabas melanggar tebing tembok batu di sebelah kiri jalan.
Mangsa yang berasal dari Shah Alam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tujuan bedah siasat.
Melalui kenyataan, Azman berkata, keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
#kemalangan maut #meninggal dunia #pandu laju #shah alam #Volkswagen
;