Pemandu maut rempuh pekerja Propel di Jambatan Pulau Pinang

Astro Awani
Disember 2, 2015 02:51 MYT
Mangsa dikatakan melanggar tiga pekerja Propel yang sedang mengawal lalu lintas dan memasang kon menutup jalan di laluan berkenaan.
Seorang pemandu maut dan kepala hampir putus apabila dia merempuh tiga pekerja Propel yang sedang melakukan kerja di jambatan pulau pinang tengah malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam, di kilometer 0.8 menuju ke Perai itu mangsa maut ditempat kejadian manakala tiga pekerja Propel cedera.
Ketua polis daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Alatrash Wahid berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Toyota Camry dalam perjalanan menuju ke Perai dipercayai memandu laju dan gagal mengelak kenderaan Propel yang berhenti di lorong kanan jambatan yang sedang memasang 'fence' pembahagi jambatan .
Mangsa dikatakan melanggar tiga pekerja Propel yang sedang mengawal lalu lintas dan memasang kon menutup jalan di laluan berkenaan.
Akibat rempuhan itu, kereta mangsa berpusing dan rosak teruk di bahagian depan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat manakala tiga mangsa yang cedera juga dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Dalam pada itu, turut menerima nasib malang seorang lagi pekerja Propel apabila seorang penunggang motosikal yang leka melihat kejadian kemalangan tersebut merempuh mangsa yang sedang bertugas dilaluan bertentangan.
Difahamkan mangsa yang cedera patah kaki dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
#Jambatan Pulau Pinang #kemalangan #maut #Mior Farid Alatrash Wahid #PROPEL