Pemandu maut lori terjunam dalam lubang jalan mendap
Sinar Harian
Jun 20, 2024 10:10 MYT
Jun 20, 2024 10:10 MYT
PEKAN: Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam lubang jalan mendap berhampiran Jambatan Bailey di Seksyen 102, Kilometer 73, Jalan Kuantan-Segamat di sini pada Rabu.
Dalam nahas pada jam 8.55 malam itu, mangsa, Muhammad Farhan Dagang, 29, beralamat di Kampung Cahaya Baru, Masai, Johor mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati, lori jenis Hino membawa muatan generator elektrik dipandu mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Pekan.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi, lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terlanggar penghadang jalan plastik sebelum terjunam masuk ke dalam lubang jalan mendap.
"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan akibat terbabas sendiri dipercayai pemandu tidak menyedari amaran kawasan lencongan jambatan sementara di lokasi itu," katanya.
Mohd Zaidi berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan berselekoh (lencongan), satu lorong dua hala, garisan tengah kuning sebagai pembahagi jalan, jalan berturap dan terdapat penghadang plastik di kiri dan kanan laluan.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria barkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai untuk operasi menyelamat.
"Ketika tiba di lokasi mendapati sebuah lori terjunam ke dalam lubang dan pemandunya tersepit di dalam kenderaan tersebut.
"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa segera dilakukan menggunakan peralatan menyelamat," katanya.
Zulfadli berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Sinar Harian