Pemandu maut lori terbalik dirempuh dari belakang
Sinar Harian
Mei 31, 2022 06:30 MYT
Mei 31, 2022 06:30 MYT
KLANG: Seorang pemandu maut dalam kemalangan melibatkan dua buah lori tiga tan berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) menghala Pelabuhan Klang di sini pada Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.14 pagi.
"Kejadian dipercayai berlaku setelah lori dipandu lelaki tempatan berusia 24 yang datang dari belakang telah melanggar lori dipandu mangsa.
"Pelanggaran tersebut menyebabkan lori dipandu mangsa bergesel dengan sebuah lori kontena yang di parkir di bahu jalan sebelum hilang kawalan dan terbalik.
"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun tersepit di bahagian hadapan mengalami parah di bahagian kepala," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Norazam berkata, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
*Berita asal di Sinar Harian