Pemandu maut, lori terbabas langgar pokok
Sinar Harian
Ogos 19, 2022 05:45 MYT
Ogos 19, 2022 05:45 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya itu terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Kilometer 10.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, pada Jumaat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Aidil Misman berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian tersebut pada jam 4.25 petang.
Beliau berkata, susulan itu seramai 10 anggota dari BBP Kempas dan BBP Tebrau dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kemalangan itu melibatkan sebuah lori dua tan jenis Daihatsu terbabas melanggar sebatang pokok di bahu jalan. Kemalangan melibatkan mangsa yang berusia 45 tahun.
"Tindakan operasi telah mengeluarkan mangsa menggunakan 'strecher'. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian dan mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 5.24 petang. -Sinar Harian