Pemandu maut, lori dirempuh pacuan empat roda ketika buat pusingan U
Abd Razak Mohd Ali
September 11, 2022 09:40 MYT
September 11, 2022 09:40 MYT
BAGAN SERAI: Seorang pemandu maut apabila lori yang dipandunya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika membuat pusingan U di Kilometer 116, Jalan Ipoh-Butterworth, berhampiran Sungai Rawa, dekat sini, malam tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.55 malam itu, mangsa, G Sasitaran, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa lori jenis Inokom KAPPA dipandu dari arah Bagan Serai menghala ke arah Parit Buntar.
Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan dipercayai telah membuat pusingan U untuk berpatah balik ke arah Bagan Serai apabila dilanggar di bahagian sebelah kiri oleh pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu dari arah Parit Buntar.
“Selepas kemalangan itu lori dan Toyota Hilux telah terbabas masuk ke dalam parit di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pemandu Toyota Hilux berusia 57 tahun dan penumpang hadapan, lelaki berusia 81 tahun tidak mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, dua penumpang belakang kenderaan berkenaan, dipercayai isteri pemandu yang berusia 54 tahun dan anak lelaki mereka berusia 18 tahun dihantar ke hospital untuk rawatan.
Mazuki berkata, bedah siasat ditangguhkan sehingga ujian COVID-19 diperolehi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.