Pemandu maut kereta rempuh tiang SmartTAG di LDP
Astro Awani
Julai 7, 2022 08:50 MYT
Julai 7, 2022 08:50 MYT
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas merempuh tembok pembahagi Plaza Tol Penchala arah selatan, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), dekat sini, tengah malam tadi.
Insiden dilaporkan jam 12.30 pagi ketika cuaca dalam keadaan baik.
Mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan jenis MINI Cooper S dipandunya terbabas merempuh tembok di laluan SmartTAG.
Rempuhan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.
Dia disahkan maut akibat kecederaan parah di badan dan kepala oleh paramedik selepas berjaya dikeluarkan anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Taman Tun Dr Ismail.
Mangsa dikenali sebagai Wong Kok Wai, 37 tahun, beralamat di Bandar Damansara Perdana.
Tiga lorong kanan di plaza tol itu ditutup sepenuhnya untuk siasatan kemalangan.
Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh.