Pemandu maut, kemalangan kereta, lori tangki di Pantai Remis

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 8, 2022 10:57 MYT
Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dan kereta Perodua Axia di Pantai Remis, dekat Beruas, awal pagi ini. - Foto JBPM Perak
BERUAS: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Kampung Segari, Pantai Remis, dekat sini, pagi ini.
Lelaki berusia 48 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tangki yang berusia 38 tahun turut cedera.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 6.03 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dan sebuah kereta jenis Perodua Axia.
“Pemandu Perodua Axia tersepit dan disahkan maut di lokasi oleh pihak ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Subli Mohd Yusof itu tamat jam 7.25 pagi.
#mangsa tersepit #JBPM Perak #kemalangan maut #kemalangan lori tangki
;