Pemandu maut, kelindan cedera lori terbabas di Lebuhraya Utara Selatan

Abd Razak Mohd Ali
Januari 10, 2022 07:57 MYT
Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit. - Foto JBPM
TAIPING: Seorang pemandu maut manakala kelindannya cedera apabila lori yang mereka naiki terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di Kilometer 209 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, malam tadi.
Pemandu, yang berusia 40 tahun, maut di lokasi kejadian manakala kelindan yang cedera berumur 34 tahun.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 11.16 malam.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori muatan barang (bounded) telah terbabas dan melibatkan dua orang mangsa di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut jurucakap itu, nahas berkenaan menyebabkan pemandu lori tersepit dan anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan pemandu tersebut sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Mangsa yang cedera pula telah diberikan rawatan awal oleh anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Syaf Ezuan Ahmad tamat jam 1.08 pagi.
#Nahas #Lebuhraya Utara Selatan #terbabas #lori muatan barang
;