Pemandu maut dihempap jentera penggelek jalan
Afiezul Samit
Mei 2, 2021 00:33 MYT
Mei 2, 2021 00:33 MYT
SARIKEI: Seorang lelaki maut selepas dihempap jentera penggelek jalan dipandunya yang terbalik di Jalan Ladang Ulu Beletie, Pakan, dekat sini, pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata Kung Teck Keong, 40, meninggal dunia di tempat kejadian.
"Insiden berlaku sekitar jam 10.30 pagi apabila jentera penggelek jalan yang dipandu mangsa dipercayai mengundur sebelum jatuh terbalik ke sebelah kiri bahu jalan.
"Mangsa kemudian dipercayai dihempap jentera itu," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.
Sementara itu, menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.20 pagi dan segera menghantar pasukan dari Balai Bintangor.
"Pasukan berkenaan bagaimanapun berhadapan kesukaran kerana jarak lokasi yang jauh iaitu 62 kilometer selain terpaksa melalui jalan ladang kelapa sawit yang berbukit-bukau dan kurang baik.
"Setiba di lokasi, pasukan kemudian melaksanakankerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan cangkul.
"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan sekitar jam 12.50 tengah hari dan dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat," katanya.