Pemandu maut dalam kemalangan tiga lori
Bernama
Jun 26, 2024 21:15 MYT
Jun 26, 2024 21:15 MYT
JASIN: Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori di Kilometer (KM) 186.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata mangsa Mohd Azmizan Stapa, 39, yang memandu lori jenis Isuzu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu.
Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis Nissan UD dari Muar, Johor ke Tanjung Malim, Perak telah memperlahankan kenderaan disebabkan terdapat kerja-kerja penyelenggaran di hadapan.
"Namun, pada masa sama lori dipandu mangsa yang membawa muatan sejuk beku dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian belakang Nissan UD menyebabkan kedua-dua lori tersebut bergerak ke hadapan dan merempuh bahagian belakang lori jenis Hino," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya akibat perlanggaran itu mangsa tersepit di dalam lori dipandunya, manakala dua pemandu bersama dua penumpang di dua lagi lori yang terbabit dalam kemalangan tersebut tidak mengalami kecederaan.
POLIS-KEMALANGAN 2 (AKHIR) JASIN
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan II Salwani Ho Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 11.02 pagi dan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
"Setibanya di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan tiga lori dan seorang pemandu lori jenis Isuzu tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh bomba," katanya.
-- BERNAMA