Pemandu mabuk sebabkan kematian pasangan suami isteri didakwa di mahkamah

Bernama
November 26, 2024 14:01 MYT
Mekanik Nageshvaran Sangaram mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan dalam badan sehingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri di Pasir Gudang. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan dalam badan sehingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri di Pasir Gudang, 16 Nov lepas.

Ringkasan AI
  • Pertuduhan dan Pengakuan: Seorang lelaki, Nageshvaran Sangaram, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan sehingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri di Pasir Gudang pada 16 November.
  • Butiran Kes: Tertuduh didakwa memandu dengan kandungan alkohol 170 miligram per 100 mililiter darah, melebihi had yang ditetapkan, menyebabkan kematian Linda Mohd A Aziz dan Mohamad Redzwan Mohd Rudi di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Mesjid Pusat Bandar Pasir Gudang.
  • Tindakan Mahkamah: Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan syarat tambahan melapor diri dua kali sebulan di balai polis, menggantung lesen memandu, dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Januari.

Bagi pertuduhan pertama, Nageshvaran Sangaram, 34, didakwa memandu sebuah kenderaan jenis Proton Alza dengan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 170 miligram per 100 mililiter darah, melebihi had ditetapkan sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Linda Mohd A Aziz.
Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu kenderaan yang sama dengan kandungan alkohol yang sama sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Mohamad Redzwan Mohd Rudi.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Mesjid Pusat Bandar Pasir Gudang, kira-kira 4.15 pagi.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjaran maksimum 15 tahun serta denda sehingga RM100,000.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh sabitan.
Majistret Nor Farhana Mohd Ishak membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri dua kali sebulan di Balai Polis Johor Jaya.
Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung dan pasport diserahkan kepada mahkamah sementara kes dibicarakan.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik Insp S Vikineswary manakala tertuduh diwakili peguam K Sarawanakumar.
Mahkamah menetapkan 14 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.
Pada 16 Nov lepas, media melaporkan Mohamad Redzwan, 37, dan isterinya, Linda, 35, maut selepas motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta MPV dipandu seorang lelaki mabuk.
Pasangan berkenaan meninggalkan lima anak berusia antara tiga hingga 17 tahun.
-- BERNAMA
#memandu dengan kandungan alkohol #sebabkan kematian suami isteri #Pasir Gudang #pemandu mabuk #Nageshvaran Sangaram #terkini
;