Pemandu mabuk: 67 kemalangan, tiga kematian di Selangor tahun ini

Astro Awani
Jun 6, 2020 07:15 MYT
Dalam Op Mabuk JSPT di Lebuhraya Kajang Silk malam tadi, empat pemandu mabuk ditahan manakala seorang wanita dibawa ke balai polis kerana menghalang tugas anggota polis. - Astro AWANI
Isu kemalangan membabitkan pemandu mabuk semakin serius apabila sejumlah 67 kes kemalangan dengan tiga kematian dicatatkan hanya dalam tempoh lima bulan.
Angka itu didapati sudah melebihi kes keseluruhan pada tahun 2018, iaitu 60 kemalangan dan tiga kematian.
Manakala pada tahun 2019 pula merekodkan 56 kes kemalangan dengan empat kematian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt Azman Shari'at berkata, statistik berkenaan membuktikan isu berkenaan semakin serius.
Kes pemandu mabuk di seluruh negara kini menjadi topik perbualan hangat semua pihak.
Malah statistik tangkapan pemandu mabuk juga didapati meningkat iaitu melebihi dua tahun sebelumnya iaitu 57 tangkapan dengan hanya 10 operasi dilaksanakan.
Pada tahun 2018, 75 operasi dilakukan dengan 62 individu ditahan dan pada 2019, sejumlah 69 operasi dilaksanakan dengan 47 tangkapan.
“Kita akan meneruskan siri operasi kita untuk mengekang pemandu yang dipengaruh alkohol.
“Jadi kita melihat sendiri dalam kes yang lalu kesan dan akibat memandu semasa di dalam pengaruh alkohol, jadi saya suka mengingatkan kepada semua pemandu, sekarang kita banyak kemudahan.
“Kita tidak menghalang hak mereka untuk minuman keras tetapi janganlah memandu, boleh gunakan kenderaan awam lain seperti Grab ataupun teksi. Kena ada sifat tanggungjawab diri sendiri dan kepada orang ramai," katanya.
Azman ditemui selepas menyertai Op Mabuk JSPT di Lebuhraya Kajang Silk dari arah Seri Kembangan menghala ke Pekan Bt 11 Balakong, malam tadi.
Dalam operasi itu, empat pemandu mabuk ditahan manakala seorang wanita dibawa ke balai polis kerana menghalang tugas anggota polis.
Selain tiga tangkapan itu, polis juga menahan tiga pemandu mabuk dalam operasi di Klang Selatan.
Operasi ini akan diteruskan di seluruh Selangor bagi mengesan mereka yang masih berdegil memandu dalam keadaan mabuk.
#alkohol #Azman Shari'at #Kajang #kemalangan #kemalangan maut #kematian #mabuk #Op Mabuk #operasi #pemandu mabuk #PKPB #polis #polis trafik #Sekatan Jalan Raya #Selangor #siasatan #statistik #tangkapan
;