Pemandu lori tular lagak samseng didapati positif dadah
Sinar Harian
Mac 27, 2022 10:00 MYT
Mac 27, 2022 10:00 MYT
SERDANG: Seorang pemandu lori tular yang ditahan polis kerana bertindak kasar seperti samseng jalanan terhadap pemandu kereta lain di sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Bukit Jalil menghala Kuala Lumpur di sini pada Jumaat lalu, didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, ujian saringan air kencing terhadap lelaki berusia 40-an itu didapati positif dadah jenis methampetamine, ketamin dan amphetamine.
"Kita telah menjalankan SJR itu pada jam 10 pagi, sejam kemudian seorang pemandu kereta jenis Perodua Axia yang melalui sekatan itu mendakwa pemandu lori berkenaan disyaki telah mengganggu dan berselisih faham dengannya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Anbalagan berkata, pemandu lori itu telah diarahkan untuk berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut.
"Namun lelaki itu, cuba meneruskan perjalanan dan enggan berhenti serta bercakap dengan nada suara yang tinggi.
"Akhirnya, kenderaan tersebut dapat diberhentikan setelah dipaksa, pemandunya telah ditahan untuk tindakan lanjut," katanya.
Anbalagan berkata, ujian saringan alkohol turut dijalankan, namun didapati pemandu tersebut tidak mabuk.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 78(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Beliau berkata, pihaknya memohon pemandu Perodua Axia tersebut untuk tampil membuat laporan polis jika ada sebarang perlakuan jenayah oleh pemandu lori itu.
"Kita juga memohon pemilik 'dashcam' yang merakam kejadian untuk tampil membantu untuk memberi keterangan," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.