Pemandu lori tolak kekasih dituduh atas pertuduhan membunuh esok

Umavathi Ramayah
Mac 7, 2024 16:04 MYT
Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pemandu lori berkenaan akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Foto PDRM
SHAH ALAM: Seorang pemandu yang dipercayai menolak kekasihnya dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam, Shah Alam pada 28 Februari lalu akan didakwa atas pertuduhan membunuh, esok.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam.
"Polis akan tuduh suspek itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh wanita warga Thailand yang berusia 32 tahun," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Suspek berusia 37 tahun itu sebelum ini direman tujuh hari dan kemudian perintah reman itu dilanjutkan dua hari lagi sehingga 8 Mac ini, bagi membantu siasatan.
Menurut penduduk kondominium itu, semasa kejadian mereka terdengar pergaduhan antara mangsa dan suspek sebelum mendakwa melihat wanita itu ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh.
Mohd Iqbal berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 10.02 malam sebelum pihaknya menahan suspek lapan minit kemudian di lokasi kejadian.
Ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek katanya, mendapati dia positif kanabis.
Menurutnya, hasil semakan juga mendapati pemandu lori itu mempunyai tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah.
#tolak kekasih #Setia Alam #bunuh kekasih #warga Thailand
;