Pemandu lori tolak kekasih dari tingkat 23 diperintah periksa mental
Sinar Harian
April 19, 2024 15:10 MYT
April 19, 2024 15:10 MYT
SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat memerintahkan pemandu lori yang didakwa membunuh kekasih dengan menolak wanita itu dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam, Februari lalu menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Majistret, Mohamed Redza Azhar Reza memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan daripada peguam, R Sivananthan yang mewakili tertuduh, V Nathan, 37.
Semasa sebutan semula kes, Sivananthan berkata, anak guamnya sukar memproses sebarang arahan.
Menurutnya, ia kesan pendarahan di kepala akibat kemalangan motosikal pada 2018 lalu.
"Saya khuatir kalau dia tidak berupaya untuk menghadapi perbicaraan, maka saya mohon Nathan dihantar ke hospital psikiatri sebagai pemerhatian.
“Kalau pihak hospital mendapati dia sihat, maka perbicaraan boleh dijalankan seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman tidak membantah permohonan dibuat pembelaan.
Pada 8 Mac lalu, lelaki ini didakwa membunuh seorang wanita warga Thailand, Mawika Lumyai, 32, di sebuah unit kondominium di Setia Alam, Seksyen U13, pada jam 10.02 malam, 28 Februari lalu.
Nathan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Sasha Diana Sabtu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati, sekiranya didapati bersalah.
Pada 6 Mac, tular video memaparkan seorang wanita warga Thailand, dipercayai ditolak kekasihnya dari tingkat 23 sebuah kondominium di sini.
Suspek terlibat yang merupakan lelaki warga tempatan itu diberkas selepas kejadian berkenaan.
Menurut saksi, semasa kejadian terdengar pergaduhan sebelum mendakwa melihat mangsa ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh kondominium tersebut. - Sinar Harian