Pemandu lori tidak mengaku bantu pindah barang curi

Sinar Harian
Jun 1, 2023 12:50 MYT
Tertuduh ketika diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan mahkamah pada Khamis. - Foto Sinar Harian
TAMPIN: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gemas di sini pada Khamis atas pertuduhan membantu memindahkan barang curi, bulan lalu.
Tertuduh P Ganggu Naidu, 51, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menolong memindahkan harta yang tertuduh ada sebab mempercayai sebagai harta curi iaitu penyaman udara.
Perbuatan itu dilakukan di Pusat Perniagaan Mewah, Gemas pada 12 Mei lepas jam lebih kurang jam 5.35 pagi.
Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng, menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah supaya jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung empat anak selain mempunyai masalah kesihatan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan 6 Julai ini sebagai sebutan semula kes. - Sinar Harian
#pemandu lori #barang curi #penyaman udara #P Ganggu Naidu
;