Pemandu lori terselamat, kenderaan rempuh tiang elektrik
Adie Sufian Zulkefli
Januari 7, 2020 10:05 MYT
Januari 7, 2020 10:05 MYT
Seorang pemandu lori terselamat selepas kenderaan yang dipandunya terbabas lalu merempuh tiang elektrik di tepi jalan berdekatan Sekolah Pondok Ma'ahad Darul Hasimi, Jalan Lepai, Kampung Teluk, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, pemandu kenderaan berat berusia 60-an tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak tersepit.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan jam 7.12 pagi berhubung kemalangan itu.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Samsari Ibrahim tiba di lokasi jam 7.25 pagi.
Operasi disertai sembilan anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Setibanya di lokasi, didapati lori terbabit dalam keadaan remuk di bahagian depan akibat merempuh tiang elektrik di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, katanya, mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
#Alor Setar
#BBP Pokok Sena
#JBPM Kedah
#Kedah
#kemalangan
#Lori
#Mohamadul Ehsan Mohd Zain
#pemandu
#Samsari Ibrahim
#tiang elektrik