Pemandu lori rentung sempat pesan pada ibu jangan menangis jika kehilangan orang tersayang

Bernama
September 30, 2021 22:35 MYT
Seorang pemandu lori yang maut dalam kemalangan sempat berpesan pada ibunya supaya tidak menangis sekiranya orang yang tersayang pergi menghadap Ilahi. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Pemandu syarikat penghantaran yang rentung selepas lori dipandu terbabas lalu terbakar di Jalan Tasik Utara, Larkin dua hari lepas, sempat berpesan pada ibunya supaya tidak menangis sekiranya orang yang tersayang pergi menghadap Ilahi.
Ibu Mohamad Mustaqim Ismadi, 23, Maglita Varshay Ibrahim, 49, berkata arwah mengungkapkan perkara itu ketika ibunya kehilangan kakaknya akibat COVID-19 empat bulan lepas.
"Kakak saya meninggal dunia empat bulan lepas kerana COVID dan disebabkan itu saya banyak menangis.
"Arwah sempat pesan kepada saya jangan menangis kerana menangis tidak akan membawa apa-apa perubahan, sebaliknya kita kena banyak berdoa kepada Allah," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Flat Serantau Larkin, di sini hari ini.
Maglita berkata kelakuan anak sulungnya itu juga berubah kebelakangan ini kerana lebih banyak ke surau dan bercerita tentang perkara keagamaan.
"Mustaqim anak yang baik dan soleh, penduduk setempat di flat serta rakan kerja juga kata arwah merupakan orang baik. Makcik rasa sangat sedih dan kehilangan," kata suri rumah kepada dua cahaya mata itu.
Sementara itu, Pengarah Perkeso Johor Tong Sing Chuan berkata berikutan Mohamad Mustaqim meninggal dunia ketika sedang bekerja, keluarganya layak menerima faedah sebanyak RM1,333.50 sebulan.
Katanya, keluarga mangsa juga menerima bayaran bagi faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000.
Mohamad Mustaqim yang masih belum berkahwin dan bekerja sebagai pemandu lori syarikat penghantaran itu sejak 22 Mac tahun ini, meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk menghantar barangan kepada pelanggan.
Lori dipandunya terbabas ketika cuba mengelak kon di tepi jalan lalu melanggar pokok di tengah jalan dan terbakar menyebabkan mayatnya ditemui dalam keadaan rentung.
-- BERNAMA
#pemandu lori #rentung #Jalan Tasik Utara #pemandu syarikat penghantaran #Mohamad Mustaqim Ismadi #Maglita Varshay Ibrahim
;