Pemandu lori rempuh sembilan motosikal direman 3 hari
Astro Awani
Mac 8, 2022 12:37 MYT
Mac 8, 2022 12:37 MYT
SUNGAI PETANI: Pemandu lori berusia 28 tahun yang dipercayai terlibat dalam nahas membabitkan kenderaan dipandunya dengan sembilan motosikal di bawah jejambat Kilometer 92.8, Lebuhraya Utara Selatan, Sungai Petani, pada Isnin, direman tiga hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad di Mahkamah Sungai Petani bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam kejadian kemalangan yang berlaku kira-kira jam 2.40 petang semalam, dua lelaki berusia 28 dan 31 tahun disahkan terkorban manakala enam yang lain cedera.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memaklumkan, sebelum kejadian, penunggang motosikal sedang berteduh di bawah jejambat kerana hujan lebat.
Kesemua mangsa juga difahamkan telah meletakkan motosikal mereka di lorong kecemasan secara dua barisan manakala mereka berada di sisi motosikal masing-masing.
Namun, secara tiba-tiba, sebuah lori dinaiki dua lelaki berumur 28 tahun yang bergerak di lorong kiri telah merempuh kesemua mangsa dari arah belakang.
Jelas beliau, akibat pelanggaran itu, dua mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
Enam lagi mangsa cedera, manakala tiga individu termasuk pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, ujian saringan air kencing dan alkohol juga telah dilakukan ke atas pemandu serta kelindan lori dan keputusannya mendapati kedua-dua mereka bebas pengambilan kedua-dua bahan tersebut.