Pemandu lori minyak maut terbakar dalam nahas jalan raya

Bernama
Februari 23, 2019 14:15 MYT
Video yang dikongsi pengguna lebuh raya menunjukkan kemalangan melibatkan lori yang terjadi di KM372, PLUS pagi ini. - Astro AWANI
Seorang pemandu lori tangki minyak maut dalam kebakaran selepas kenderaannya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 372 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) selepas Hentian Rehat dan Rawat (RR) Behrang di sini pagi ini.
Kemalangan kira-kira pukul 8 pagi itu melibatkan tiga lori iaitu dua lori treler membawa muatan besi cerucuk dan sebuah lori tangki berisi minyak diesel.
Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mangsa Mohamad Suhaimi Khamis, 38, berasal dari Puchong, Selangor, maut terbakar di tempat kejadian setelah melanggar belakang lori membawa muatan besi cerucuk itu di lorong kecemasan.
"Kami akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pihak PLUS bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah lori dipandu Mohamad Jurid Bakar, 45, berasal dari Pekan Pahang telah memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana brek angin mengalami masalah.
"Sebuah lagi lori dipandu Kamarul Azwar Abu Bakar, 34, dari Jitra Kedah turut berhenti di lorong kecemasan untuk memberi bantuan berikutan mereka daripada syarikat yang sama.
"Namun selesai membantu, ketika dalam kenderaan, Kamarul Azwar telah melihat sebuah lori tangki dari arah tengah terus bergerak ke arahnya lalu melanggar belakang lorinya serta terlanggar belakang lori yang dibantunya tadi," katanya.
Akibat rempuhan itu, Wan Kamarul Azran berkata lori tangki yang membawa muatan diesel telah terbakar dan merebak ke lori hadapannya.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Slim River," katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelas beliau lagi, ekoran kejadian itu berlaku kesesakan lalu lintas sepanjang 4 kilometer.
Sementara itu, menurut kenyataan jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kira-kira 8.51 pagi tadi dan tiga jentera dikejarkan ke lokasi itu.
Katanya ketika tiba, mangsa rentung terbaring di atas jalan dan pada masa yang sama pihak bomba membuat pemadaman menggunakan dua aliran hos dua pancutan dan satu aliran salur bantu mula hingga kerja-kerja pemadaman selesai pada 11.15 pagi tadi.
Operasi pemadaman melibatkan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan dibantu BBP Tapah dan BBP Bidor.
-- BERNAMA
#Behrang #bomba #JBPM #kebakaran #kemalangan #Lori #mangsa #maut #mayat #Nahas #PLUS #siasatan #Slim River
;